Wednesday, 2 January 2008

Apa ertinya saya menganut agama ISLAM. (fasa 1)


“Apa erti saya menganut Islam?”, tidakkah soalan itu soalan yang tidak patut ditanya?

Tidak masuk akal untuk seseorang itu menjadi Muslim tetapi belum pernah memikirkan erti keIslamannya. Memilih sesuatu tanpa mengetahui apa yang dipilih?

Tidak… bukan begitu soalannya. Selama ini tidak pernah pun membuat pilihan, melainkan segalanya diterima secara kebetulan. Islam warisan. Islam yang turun dari emak ke anak, sebagaimana turunnya warna mata dan kerinting rambut.

Tanpa pernah memilih Islam, seorang Muslim mungkin menjadi musuh kepada keIslamannya sendiri. Menjadi perosak kepada agama yang dimeterakan ke pengenalan dirinya. Dia bukan sahaja gagal menikmati Islam yang dianutinya, malah dia mungkin sampai menganggap racun keIslamannya lantas meracuni orang lain dengan perbuatan-perbuatannya yang menyesatkan persepsi orang lain tentang erti Islam yang sebenar.

Sulitnya lagi, menjawab persoalan “apa erti saya menganut Islam” bukan pada perkataan dan penjelasan lisan, tetapi melalui perbuatan.

Perbuatan kepada Tuhan

Perbuatan kepada sesama insan

Perbuatan kepada alam

Perbuatan kepada pekerjaan dan aktiviti seharian

Kesemua jawapan tentang “apa erti saya menganut Islam”, jawapannya diungkap pada perbuatan. Apa erti saya menganut Islam adalah persoalan yang mengkritik perbuatan berdasarkan kepercayaan. Apa yang kamu percaya, dan apakah kesan kepercayaan kamu kepada perbuatan seharianmu.



PENYERAHAN DAN KETUNDUKAN


Islam itu penyerahan…

Islam itu ketundukan…

Islam itu kesejahteraan…

Islam itu adalah penyerahan dan ketundukan yang menghasilkan kesejahteraan.

Soalnya, kepada apakah seorang Muslim itu berserah dan tunduk akur? Kesejahteraan apakah yang dicarinya dalam kehidupan ini.

Secara cliché, seorang Muslim berkata, “sebagai Muslim, saya berserah dan tunduk kepada Allah dan dengan perbuatan itu berhasillah saya mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan di Akhirat”.

Sedap jawapannya, menepati skema ukuran kertas jawapan. Tetapi terjawabkah persoalan kehidupannya dengan jawapan sebegitu di atas kertas jawapan? Jika begitu tepat seorang Muslim mendefiniskan keIslamannya sebagai tunduk dan berserah kepada Tuhan, mengapakah kesejahteraan hilang dari dunia Muslim zaman berzaman? Mengapakah segala yang sakit dan tenat itu kita temui dalam catatan kehidupan Muslim yang kebelakangan?

“Saya hairan apabila ustaz begitu yakin menyebut bahawa masa depan adalah milik Islam. Kenapa saya tidak memiliki keyakinan yang sama?”, tanya seorang peserta PUISI 2007.

Ya, hingga begitu sekali seorang Muslim menimbulkan pertanyaan. Saya tidak menyalahkan penyoal dan soalan kerana ia adalah pertanyaan yang tulen. Pertanyaan yang memberikan kesimpulan bahawa empat hari berkampung di Bukit Melleray, Co. Waterford bukan jawapan penuh kepada menjawab persoalan APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM… bahawa dua muka surat tulisan Fathi Yakan tentang “meyakini bahawa masa depan adalah milik Islam” adalah jauh dari upaya menjustifikasi ucapan-ucapan kita agar bukan sekadar slogan dan retorik angan-angan.

0 comments: