Pembinaan dakwah Rasulullah s.a.w terhadap pemuda dan menyediakan diri mereka untuk
mengharungi kehidupan.
Kepada kamu wahai pemuda-, saya kemukakan beberapa pesanan Rasulullah s.a.w mengenai persediaan ini agar kamu mengetahui bagaimana cara pembinaan yang dilakukan.
Di dalam menyediakan pemuda supaya mentaati Allah, mengabdikan diri kepadaNya dan menjauhi segala perkara yang dilarang... Rasulullah s.a.w telah bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud:
”Tujuh golongan yang akan dilindungi oleh Allah di hari yang tidak ada perlindungan kecuali perlindunganNya..... pemuda yang hidup di dalam keadaan memperhambakan diri kepada Allah.”
Di dalam menyeru pemuda supaya mengambil segala kesempatan untuk membentuk peribadi mereka samada dari sudut rohani, jiwa, jasmani, mental dan akhlak... baginda bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al Hakim yang maksudnya:
”Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, masa lapangmu sebelum masa sibukmu, mudamu sebelum tuamu dan kayamu sebelum miskinmu.”
Di dalam memelihara jiwa pemuda daripada terpesong, terseleweng dan menjaga kesuciannya dengan berkahwin seperti yang telah di syariatkan oleh Allah kepada umat Islam... Baginda s.a.w telah bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Jamaah yang bermaksud:
”Wahai para pemuda, sesiapa dari kalangan kamu yang mampu untuk berkahwin, hendaklah dia berkahwin kerana ia dapat menjaga pandangan dan memelihara kemaluan.”
Di dalam memuhasabah tanggungjawab pemuda di hadapan Allah s.w.t di akhirat kelak... baginda bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Tarmizi:
“Tidak melangkah seorang hamba pada hari akhirat kelak sehingga dia ditanya tentang umurnya pada apa yang telah dihabiskannya, masa mudanya pada apa yang telah dipenuhkannya, hartanya dari mana dia mendapatinya dan ke mana dia membelanjakannya dan ilmunya apakah yang telah dilakukan dengannya.”
Di dalam istiqamah pemuda di atas manhaj Islam dan berterusan di dalam ketaqwaan kepada Allah... baginda s.a.w telah bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Ya’la:
“Sesungguhnya Allah sangat kagum pada pemuda yang tidak ada baginya masa muda (untuk bergembira dan bersuka-suka kerana masa mudanya dipenuhi dengan beribadat kepada Allah).”
Di dalam wasiat Rasulullah s.a.w kepada Umat Islam supaya menjaga pemuda dan menjelaskan tentang kelebihan mereka berbanding dengan orang-orang tua... baginda s.a.w bersabda:
“Aku berpesan kepada kamu supaya berbuat baik kepada pemuda, sesungguhnya hati mereka paling lembut. Sesungguhnya Allah telah mengutus aku membawa agama Hanafiah lalu para pemuda bergabung dengan aku dan orang-orang tua menentang aku.”
..::TINTA MUJADID::..