Monday 10 November 2008

...:::UlangTahun:::...

Assalamaualaikum, para pembaca sekalian...

Apa khabar??saya harap semua sihat walafiat ya...
walaubagaimanapun syukur alhamdulillah kerana diberi nikmat kesihatan..tak gitu yop(blajor loghat parit)hehe...

saya ingin memohon maaf kepada semua pembaca blog saya, kerana sudah lama saya tidak update...bukan apa, ada sedikit masalah yang berlaku...

sebenarnya ada beberapa sebab kenapa saya tidak update blog saya..jadi saya harap jangan marahkan saya ya...kalau yang sentiasa menjenguk itu, terima kasih la teman ucapkan kerana tolong tengok-tengokkan blog teman ye...


FAKTOR-FAKTOR

Teman ini sebenarnya sudah lama hendak update
blog teman ini...ini antara sebab-sebab teman tidak sempat update:

1. Perubahan
Kenapa saya kata perubahan?? sebenarnya saya masa dulu, saya dalam proses ingin menukar blog saya dari blogspot kepada wordpress..namun disebabkab oleh kekangan masa ditambah pula dengan tidak expert untuk mengendalikan wordpress ini. hal ini menyebabkan blog saya terbengkalai. apabila sudah terbengkalai, saya rasa agak keberatan dengan mengupdate blog saya. namun kenapa hari ini baru saya update, kejap lagi saya cerita kenapa hari ini....

2. Tsunami Blog
Yang ini berlaku apabila secara tiba-tiba, ramai sahabat saya mula berkecimpung didalam penulisan blog ini.. ada yang meminta bantuan saya untuk tolong buat, ada yang minta tolong cantikkan blog sahabat saya ini dan ada macam-macam lagilah...disebabkan tsunami ini lah saya mula kembali untuk menulis..hehehe...kenapa tarikh keramat ini??? kita tunggu....

3. Teguran
saya pernah melalui satu program ini, dimana program itu ada membncangkan mengenai blog ini sendiri. seorang pakar dalam penulisan ini ada mengatakan, sekarang ini bidang penulisan semakin meningkat dimana proses percambahan blog semakin bertambah(ia jugak ye)...tapi apa yang menarik adalah dia mengatakan, blog semakin bertambah tapi kualiti penulisan tiada...apa maksud dia adalah...banyaknya blog ini copy dan paste..jadi dimana letaknya nilai penulisan itu sendiri...(betul jugak dia kata sambil-sambil terasa...hehehe)

4. Ulangtahun
Inilah faktor yang terbesar kenapa saya memulakan kembali penulisan saya dalam blog ini. Pada tanggal 10 November 2007 telah terbinalah blog saya, walaupun terpaksa melalui perubahan dari segi url..namun hal ini tidak mematahkan semangat saya untuk menulis...dan semalam adalah hari ulangtahun untuk blog saya...rupa-rupanya dah sampai setahun dah...kalau baby ini, sudah besar dah...hehhehe..(kan best kalau ada anak..hehehe)


saya rasa itulah antara faktor-faktornya...namun lepas ini, blog ini akan terjaga dengan sebaiknya...hehehe...(kena wat cm bini la...hehe)

ok....setakat ini dulu coleteh saya ye..jumpa dikemudian hari....


Read More..

Wednesday 14 May 2008

persahabatan

Assalamualaikum...para sahabat sekalian...

Bagaimana sahabat sekalian pada kali ini? sihat ke? bagaimana pula dengan iman dan rohani sahabat sekalian? Moga-moga diperkemaskan dan ditetapkan oleh Allah didalam hati kita.

Mentari ada terjumpa satu artikel yang berkaitan dengan kita semua sahabat. Ia amatlah berkaitan dengan kita seandainya kita ingin benar-benar mencari seorang sahabat yang boleh senang susah bersama. Artikel ini adalah berkaitan dengan sifat seorang sahabat. Selain itu, dengan artikel ini juga, mentari berharap agar mana-mana sahabat amalkan, amallah. Pada pendapat mentari, tidak salah kita belajar macam mana cara bersahabat. Ini adalah panduan kita semua, semoga kita terus bersahabat..


1. Jika engkau berbuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu.
2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik persahabatanmu itu.
3. Jika engkau perlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya ia akan membantumu.
4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerima dengan baik.
5. Jika ia mendapat sesuatu kabajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai atau menyebut kebaikanmu.
6. Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya.
7. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.
8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu.
9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu(membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).
10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu.
11. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya ia akan membantumu.
12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

Read More..

Saturday 10 May 2008

.::.Salam Kemaafan.::.


Assalamualaikum....

Pertama sekali, kita ucapkan syukur kepada Allah kerana diatas nikmat yang diberikan kepada kita semua, mungkin kita sebelum ini agak lalai dengan mengingati Allah. Mentari teringat kata-kata sahabat mentari dari UPNM aka ATMA di masjid wilayah ketika ada seminar, beliau mengatakan "hidup ini adalah kerana Allah, adalah menjadi satu kewajipan seorang hamba untuk mengingati atau mensyukuri nikmat Allah, maka kita seharusnya merasakan segala-galanya adalah milik Allah."



Kedua, mentari ingin memohon maaf kepada semua pembaca blog mentari(sambil tu mengucapkn terima kasih krana sudi singgah tgk) kerana mentari tidak sempat untuk blog mentari. Mentari sebenarnya agak sibuk kebelakangan ini menyebabkan tidak sempat untuk update blog. mentari memohon kemaafan.

ketiga, mentari mengucapkan selamat bercuti kepada sahabat2 mentari yang baru sahaja bercuti panjang, dan juga mentari juga ingin mengucapkan selamat berjuang kepada sahabat mentari yang terpaksa berjuang pada waktu cuti.



Mentari rasa setkat nie la dulu untk ini, kepada pembaca blog mentari diharap bersabar kerana mentari akn update blog mentari secepat yang mungkin.

semoga bertemu lagi..


"Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan."



Wasalam...

Read More..

Tuesday 18 March 2008

halangan magnetik

Bagaimanakah anda mengukur daya magnetik pada diri anda? Adakah orang lain tertarik dengan anda tanpa dipaksa? Adakah anda memang disukai? Jika tidak, anda mungkin mempunyai salah satu daripada halangan-halangan berikut:

1. Berlagak
Tidak ada sesiapa yang mahu mengikut individu yang bongkak dan ‘hidung tinggi’ iaitu menganggap dirinya lebih baik daripada orang lain. Orang lain semua salah. Hanya dia yang betul.

2. Rasa kurang selesa
Sekiranya anda tidak selesa dengan diri anda, orang lain juga akan rasa begitu pada anda.

3. Emosi
Sekiranya orang tidak tahu apakah yang mereka harapkan daripada anda, mereka anda berhenti mengharapkan sesuatu daripada anda.

4. Kesempurnaan melampau
Orang akan hormat keinginan untuk berjaya, tetapi meluat kepada kemahuan dan harapan yang tidak realistik.

5. Keraguan
Orang tidak mahu pada mereka yang sering ragu pada keupayaan dan potensi orang lain.

Sekiranya anda boleh menghindarkan halangan-halangan tersebut, anda boleh membina Magnet Diri. Ikuti sambungan seterusnya… Apa yang perlu anda lakukan?

Read More..

Tuesday 11 March 2008

Cinta vs. Suka

Di hadapan orang yang kita cinta, hati kita akan berdegup kencang.
Tapi di depan orang yang kita suka, hati kita akan gembira.

Di depan orang yang kita cinta, musim sentiasa berbunga-bunga.
Di depan orang yang kita suka, musim itu cuma berangin sahaja.

Jikalau kita lihat di dalam mata orang yang kita cinta, kita akan kaku.
Jikalau kita melihat mata orang yang kita suka, kita akan tersenyum.

Di depan orang yang kita cinta, lidah kelu untuk berkata-kata.
Di depan orang yang kita suka, lidah bebas berkata apa sahaja.



Di depan orang yang kita cinta, kita menjadi malu.
Di depan orang yang kita suka, kita akan tunjukkan imej yang sebenar.

Kita tidak boleh merenung mata orang yang kita cinta.
Tapi kita selalu merenung mata orang yang kita suka.

Bila orang yang kita cinta menangis, kita akan turut menangis.
Bila orang yang kita suka menangis, kita akan membuat dia gembira.

Perasaan cinta bermula dari kata.
Perasaan suka bermula dari telinga.



Jadi, jikalau kita berhenti menyukai seseorang yang kita suka. Umpama kita membuang telinga kita. Tapi jika kita cuba menutup mata. Cinta berbuah menjadi airmata. Setiap orang akan mengalami ini dalam hidup mereka.

Read More..

Saturday 23 February 2008

petua untuk hati


Istimewa untuk hati yang sedang bersedih, jiwa yang sedang berduka, minda yang sedang berkecamuk, inilah petua terbaik buat mengubat resah dan gundah:
  • Amalkan tasbih, tahmid dan takbir - Inilah petua yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada anaknya Siti Fatimah.
  • Berdoa - Mohonlah kepadaNya. Ingatlah, doa itu senjata bagi orang mukmin.
  • Sibukan diri dengan sesuatu - Lakukan aktiviti yang boleh melupakan segala kekusutan seperti perbanyakan membaca al-Quran & pelbagai bahan bacaan, terlibat dengan aktiviti usrah, kemasyarakatan dan sebagainya

  • Luahkan perasaan anda - Bermacam cara boleh digunakan untuk meluahkan perasaan. Carilah seseorang yang paling anda percaya (sebaiknya yang ada pertalian darah atau orang yang arif dalam agama), menulis diari atau catatan harian, menulis blog dan sebagainya

  • Senyum - Apabila berada dalam tekanan, cubalah untuk senyum. Senyumlah dihadapan cermin dan lihatlah diri anda yang sedang tersenyum. Ia mampu menenangkan fikiran dan hati.

Read More..

Monday 18 February 2008

kecantikan lelaki & kegagahan Wanita

Kecantikkan Lelaki


Kecantikan seorang lelaki bukan kepada rupa fizikal tetapi pada murni
rohani. Lelaki yang cantik,adalah:-

1) Lelaki yang mampu mengalirkan airmata untuk ingatan

2) Lelaki yang sedia menerima segala teguran

3) Lelaki yang memberi madu,setelah menerima racun

4) Lelaki yang tenang dan lapang dada

5) Lelaki yang baik sangka

6) Lelaki yang tak pernah putus asa

Kecantikan lelaki berdiri di atas kemuliaan hati. Seluruh kecantikan
yang
ada pada Nabi Muhammad adalah kecantikan yang sempurna seorang lelaki.



Kegagahan Wanita


Kegagahan seorang wanita bukan kepada pejal otot badan,tetapi pada
kekuatan
perasaan. Perempuan yang gagah,adalah:-

1) Perempuan yang tahan menerima sebuah kehilangan

2) Perempuan yang tidak takut pada kemiskinan

3) Perempuan yang tabah menanggung kerinduan setelah ditinggalkan

4) Perempuan yang tidak meminta-minta agar di penuhi segala keinginan.

Kegagahan perempuan berdiri di atas teguh iman. Seluruh kegagahan yang
ada
pada Khadijah adalah kegagahan sempurna bagi seorang perempuan.

Sabda Rasulullah SAW:- "Sebarkanlah ajaranku walau satu ayat pun"

Surah Al-Ahzab: Ayat 71 "Nescaya Allah memperbaiki bagimu
amalan-amalanmu
dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan
Rasul-Nya,maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar."

Read More..

Sunday 3 February 2008

Sunnah Tidur Tengahari Dan Penemuan Semasa

Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya.


Di dalam kitab 'Misykatul Masabih' disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w. : "Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah s.a.w. ada melakukannya."

Imam Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah berkata: "Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk solat zohor."

Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari. Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji. Tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti.

Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang (day napping), terutamanya pada waktu tengahari, didapati amat berkesan untuk mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja.

Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca-industri telah mendapati bahawa "92.5% pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengahari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti." (Napping News: 'Scientific Proof Confirms: Napping Enhances Worker Productivity,' from e-Fuse)


Waktu tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai 'a mid-afternoon quiescent phase' atau ' a secondary sleep gate.'

Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengahari ini ialah Dr. William A. Anthony, Ph.D. dan Camille W. Anthony, pengarang buku 'The Art of Napping at Work.' Demikian juga yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka 'Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping.' Dr. James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur di tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan.

Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengahari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam. (Gail Benchener: 'Parents and Sleep Deprivation,' Family.com)


Sunnah tidur tengahari yang diajarkan Nabi s.a.w. rupa-rupanya merupakan suatu yang amat saintifik lagi relevan pada hari ini.

(Laporan saintifik tentang kelebihan tidur tengahari ke atas produktiviti berdasarkan kajian 25 tahun)

Read More..

Tuesday 22 January 2008

Kisah Rasulullah SAW dan pengemis buta

"Di sudut pasar Madinah ada seorang pengemis Yahudi buta yang setiap harinya selalu berkata kepada setiap orang yang mendekatinya, "Wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya maka kalian akan dipengaruhinya".

Namun, setiap pagi Muhammad Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawakan makanan, dan tanpa berucap sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu sedangkan pengemis itu tidak mengetahui bahwa yang menyuapinya
itu adalah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW melakukan hal ini setiap hari sampai beliau wafat.

Setelah wafatnya Rasulullah SAW, tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Suatu hari sahabat terdekat Rasulullah SAW yakni Abubakar RA berkunjung ke rumah anaknya Aisyah RA yang tidak lain tidak bukanmerupakan isteri Rasulullah SAW dan beliau bertanya kepada anaknya itu, "Anakku, adakah kebiasaan kekasihku yang belum aku kerjakan?".

Aisyah RA menjawab, "Wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu kebiasaannya pun yang belum ayah lakukan kecuali satu saja"."Apakah Itu?", tanya Abubakar RA.

"Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang ada di sana", kata Aisyah RA.

Keesokan harinya Abubakar RA pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis itu. Abubakar RA mendatangi pengemis itu lalu memberikan makanan itu kepadanya. Ketika Abubakar RA mulai menyuapinya, sipengemis marah sambil menghardik, "Siapakah kamu?". Abubakar RA menjawab, "Aku orang yang biasa (mendatangi engkau)."

"Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku",bantah si pengemis buta itu.

"Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapiterlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut melanjutkan perkataannya.

Abubakar RA tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, "Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu. Aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah SAW".

Seketika itu juga pengemis itu pun menangis mendengar penjelasan Abubakar RA, dan kemudian berkata, "Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia.... "

Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat di hadapan Abubakar RA saat itu juga dan sejak hari itu menjadi muslim.

Nah, wahai saudaraku, bolehkah kita meneladani kemuliaan akhlaq Rasulullah SAW? Atau adakah setidaknya niatan untuk meneladani beliau? Beliau adalah ahsanul akhlaq, semulia-mulia akhlaq.

Kalaupun tidak boleh kita meneladani beliau seratus peratus, alangkah baiknya kita berusaha meneladani sedikit demi sedikit, kita mulai dari apa yang kita sanggup melakukannya.

Read More..

Wednesday 16 January 2008

Mihrab Oleh Amiza Khusyri Yusof


IQAMAH dialunkan melalui pembesar suara. Saya lekas mengatur langkah menuju ke masjid. Apabila tiba, saya lihat jemaah sudah penuh dua saf. Saya berdiri di saf ketiga. Di kiri dan kanan sudah ada dua tiga orang lagi yang baru sampai dan sama-sama membentuk saf. Saya rapat-rapatkan tumit dan bahu, betulkan saf sungguh-sungguh. Meyakini bahawa saf bukan pada lurusnya sahaja, tapi juga pada rapat dan akrabnya tubuh. Apa yang mengecewakan saya, jemaah masjid walau di mana-mana tidak suka merapatkan tubuh dan bahu bila berdiri dalam saf. Maka saf pun jadi bengkang-bengkok macam ular kena palu dan pada hari ini, seperti hari-hari sebelumnya, saya masih kecewa. Apabila saya rapatkan tubuh kepada makmum di sebelah kanan, dia menjauh sedikit dan jangan diharap pada makmum di sebelah kiri yang memang tidak mahu akrab sejak tadi. Saya kira, jika jemaah saf pertama dan kedua membetulkan saf sungguh-sungguh, merapatkan bahu dan tubuh, sudah tentu tidak akan wujud saf yang ketiga ini.


Aduhai! Saya ingin mengangkat takbir, tetapi terhenti apabila tersentak dengan makmum di sebelah kanan yang angkat takbir berulang-ulang dan tersekat-sekat pula. “Allahhhh… Allahhhhhuuu… Akbar!!” Sekali lagi. “Allahhhh… Allahhhhhuuu… Akbar!” Masih tak menjadi. “Allahhhh… Allahhhhhuuu… Akbar!” Saya jadi hangat. Lekas saya sabarkan hati kerana solat baru sahaja bermula. Namun, Allah mahu menguji sungguh-sungguh kesabaran saya apabila solat telah bermula dan dia membaca al-Fatihah dengan suara yang kuat. Malah siap berlagu pula dengan kepala tergeleng-geleng. Yang paling menjuakkan tidak puas hati, dia masih begitu, mengulang-ulang ayat beberapa kali. Saya seperti ingin berkata kepadanya waktu itu juga; was-was itu datangnya daripada syaitan! Semasa solat saya cuba hadirkan hati buat menggapai khusyuk. Tetapi acap kali konsentrasi saya terganggu oleh makmum di sebelah kanan.

Seusai memberi salam dan berzikir, saya bingkas dan menunaikan solat sunat selepas maghrib disusuli solat sunat hajat. Apabila selesai, saya bingkas dan ingin mencapai mashaf, tetapi benak pantas teringatkan pesanan Imam al-Ghazali tentang salah satu daripada hak solat berjemaah. Pesanan itu beragaman dan mengapung di benak. Saya membatalkan hasrat mengambil mashaf. Lantas tercari-cari makmum di sebelah kanan saya tadi. Dia kelihatan sedang duduk bersila di saf yang ketiga, menghadap mihrab. Saya menghampiri dan duduk di sebelahnya. Saya lihat wajahnya dari sisi, maka tahulah saya yang umurnya sudah renta. Saya rasa tak sedap hati. Bagaimana saya ingin menunaikan tanggungjawab dan hak ini? Saya tahu, saya perlu menunaikan hak untuk menegur dan memperingatkan jika melihat orang lain yang kurang betul atau melakukan kesalahan dalam solatnya.

Berilah pengajaran dan pengetahuan. Imam al-Ghazali seperti berbisik rapat di telinga saya. Aduh, apakah tindakan saya ingin menegur sekarang ini, dalam waktu ini juga, adalah tindakan yang wajar? Apatah pula saya baru berpindah dua hari di kawasan ini dan mahu pula menegur seorang yang sudah agak renta, mungkin juga sudah bermastautin lama di sini. Apakah ini adalah tindakan yang waras? Apakah saya akan dituduh memandai-mandai dan tunjuk lagak? Pesanan Imam al-Ghazali mengapung lagi. Bergema dalam hati. Saya membulatkan nekad. Saya perlu mencegah. Saya tidak mahu bersubahat dan sama-sama menanggung dosa. Orang tua itu kelihatan sedang khusyuk berdoa. Saya menunggu beberapa detik.

Setelah melihat dia meraup kedua tangannya ke muka, saya memberi salam dengan nada yang paling lembut. Dia memandang saya dengan kening berkerut seraya menjawab salam. Saya tersenyum kepadanya seraya bertanya, “Pakcik apa khabar?” Dia masih kerut kening dengan wajah diserkup pelik. “Alhamdulillah.” Suaranya mendatar. Saya tahu, waktu ini saya perlu berhati-hati mengeluarkan kata-kata. Saya perlu membeli kepercayaannya dahulu. Saya lantas memperkenalkan diri dan latar belakang, kemudian menghulurkan tangan. Kami berjabat. Dia saya kenali sebagai pakcik Muhsin. Setelah berbual dengannya beberapa minit, maka betullah telahan saya yang dia sudah lama tinggal di kawasan ini. Malah, rumahnya juga karib dengan masjid. Waktu ini, saya sudah mula merasakan keakraban, justeru saya kira kami sudah bersedia melanjutkan perbualan kepada mauduk utama.

“Apa pendapat pakcik tentang saf jemaah di masjid ini?” Senyuman masih tekal di bibir saya. “Bagus.” Dia mengangguk kepala sedikit. Saya tersenyum lagi. Kemudian memandang mihrab. Sebetulnya ingin memancing respons. “Kenapa?” Suaranya kedengaran serak-serak. “Saya kira kurang baik, pakcik. Walaupun baru dua hari di sini, saya lihat saf di sini masih bengkang-bengkok. Jemaah juga tidak mahu merapatkan bahu bila berdiri bersama.” Saya kembali memandangnya dengan senyuman. Saya tahu, senyuman ada kuasa memikat, selain pahala bersedekah. “Itu tak jadi masalah.” Dia bersuara acuh tak acuh. Saya terkedu sedikit. Senyuman saya mati. Di situ, keegoannya sudah mula terserlah. Saya memujuk hati dan membacakan sebuah hadis riwayat Muslim tentang saf, “Luruskan barisanmu, jangan bengkang-bengkok; kerana barisan yang bengkok nescaya akan menyebabkan hatimu berpecah belah.”

“Saf ni asas solat berjemaah pakcik, kesempurnaan solat berjemaah. Kalau kita sambil lewa, matlamat untuk mengakrabkan silaturrahim sesama Muslim itu tak akan tercapai. Hati kita akan bengkang-bengkok seperti saf itu. Penuh hasad, iri, takbur dan macam-macam lagi.” Saya bersuara lembut dan moga-moga akan menusuk ke kalbunya. “Lagi?” Nada suaranya ditinggikan. Ya, kini saya sudah mula merasakan suatu gejolak. “Cara solat pakcik. Saya nasihatkan sebelum solat, pakcik bacalah surah an-Nas dan berta’awuzlah, mohon perlindungan daripada syaitan yang direjam. Was-was itu datangnya daripada syaitan dan kejahilan.” Saya mengukir senyuman semanis madu.

Orang tua itu tiba-tiba mendengus. “Apa? Aku jahil?”

Matanya terbeliak memandang saya. Saya terkesiap. Sungguh, saya benar-benar tidak menjangka akan menerima reaksi sedemikian. Saya menarik nafas dalam-dalam. Pandangannya tidak saya balas dan kembali terlempar ke arah mihrab. Saya perlu mewujudkan jeda. “Aku cuba untuk khusyuk.” Pakcik Muhsin tiba-tiba berkata perlahan setelah berlalu beberapa detik. Saya gesit memandangnya. Dia pula lekas mengalih pandang ke arah mihrab. Tidak mahu bertentang mata. Hati saya dijentik kagum. Rasa kasihan juga bercampur baur. Ya, sekarang inilah waktu yang paling sesuai untuk saya menyampaikan dan memberikan pedoman.


“Izinkan saya memberikan formulanya, pakcik.” Saya memandang sisi wajahnya. Dia langsung tidak memandang saya. Geleng pun tidak, angguk pun tidak. “Pakcik perlu hadirkan hati.” Saya perasan kening pakcik Muhsin yang berkerut. “Maksudnya, hati itu mesti dikosongkan daripada segala sesuatu yang tidak ada sangkut paut dengan solat. Yang ada hanya Tuhan yang ingin kita sembah.” Dia kelihatan mengangguk sedikit. Riaknya itu sudah cukup sebagai pendorong semangat saya berbicara. Saya senyum, kemudian membacakan firman Allah dalam surah Taha ayat 14, “dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku.” Kemudian saya iringkan dengan surah al-A’raf ayat 205, “Dan janganlah engkau menjadi orang-orang yang lalai.”

“Kelekaan dan kelalaian itu adalah lawan kepada mengingati. Jika lalai dalam solat, bagaimanakah ingin dikatakan seseorang itu ingat kepada Allah? Solat bukan pada zahir sahaja, tapi juga pada batinnya.” Saya bacakan pula ayat 43 daripada Surah an-Nisa’, “hingga kamu sedar dan mengetahui apa yang kamu katakan.”

“Walaupun ayat ini adalah sebagai dalil melarang orang-orang yang sedang mabuk mendirikan solat sebelum pengharaman arak secara mutlak, tetapi ayat ini juga boleh digunakan sebagai larangan bagi orang-orang yang leka, lalai dan orang-orang yang dihinggapi penyakit was-was.”

Masjid itu tiba-tiba berdengung dengan bunyi motosikal. Saya berhenti seketika. Budak-budak rempit ini memang tidak pernah kenal ketololan mereka. Setelah bunyi itu reda, pakcik Muhsin memandang tunak wajah saya, saya tersenyum sepicing dan kembali menyambung. “Pakcik lihat sekarang, ramai orang yang mengerjakan solat atau mengaku menunaikan solat, tapi aurat terbuka sana, terbuka sini, senang kata, maksiat atau dosa tetap mereka lakukan. Sedangkan kita maklum, solat itu mencegah perkara yang keji dan mungkar. Berdasarkan sebuah hadis riwayat Tabrani, “Barang siapa yang solatnya tidak dapat mencegah dirinya dari perbuatan keji dan mungkar, maka orang itu tidaklah ditambah oleh Allah melainkan jauh, yakni jauh dari kebenaran.” Bermakna, kalimah-kalimah dalam solat hanya meniti di bibir sahaja, tidak mengalir ke dalam hati. Atau mereka gagal menghadirkan hati.” Saya menerangkan bersungguh-sungguh.

“Orang yang gagal menghadirkan hati ni seperti orang yang mengigau, pakcik.” Saya sengaja tidak memandang kepada pakcik Muhsin. Pandangan saya jatuh ke arah mihrab yang terbentang sejadah imam itu, tapi minda dan hati jauh berkelintar. “Mengigau?” Pakcik Muhsin yang baru saya kenali itu menyoal. Daripada bunyi nadanya saya tahu dia sedang kepelikan. Pesanan Imam al-Ghazali beragaman dalam benak saya. “Ya pakcik. Orang yang lalai ini seperti orang yang mengigau dalam tidur. Apakah orang yang berkata-kata dalam tidur dikira sebagai ucapannya sendiri atau igauan semata-mata? Adakah kata-kata ‘pakcik sudah pergi ke London’ semasa dalam tidur, orang akan percaya dan terima?” Pada perkataan London itu saya menyebutnya menggunakan ejaan Melayu seraya terkerisin.

Saya membetulkan sila.

Pakcik Muhsin menunggu dengan mata terkejip-kejip. “Jadi, solat kita semasa lalai, segala ayat-ayat dalam solat kita lafazkan sedangkan hati kita alpa, tidak jaga dan tidak hadirkan hati, adalah seperti orang yang mengigau, tidak tahu apa yang diucapkan, tidak sedar dan apakah solat kita akan diterima Tuhan?”

Saya kembali memandangnya. Namun, saya sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Pakcik Muhsin bangun tiba-tiba dan memandang saya sepicing sebelum berlalu ke arah mihrab. Ada tiga orang jemaah di saf yang pertama menghadap mihrab, yang saya rasakan orang-orang kuat masjid. Hati saya diterpa bermacam rasa. Walang, bimbang dan gentar bercampur baur. Saya menghela nafas dan lekas beristighfar. Meyakinkan hati, bahawa kemenangan itu adalah untuk orang-orang yang benar. Saya teringat firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 165, “Maka tatkala mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu dan Kami timpakan orang-orang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik.”


Hati saya hanya mampu mendoakan agar pakcik Muhsin tidak termasuk di kalangan golongan yang disebut Allah dalam ayat ini. Golongan yang tidak menghiraukan, tidak mempedulikan apabila datang peringatan kepada mereka. Saya melihat jam, waktu masih awal. Masih ada masa lebih kurang tiga puluh minit sebelum masuk fardu Isyak. Saya lekas bingkas dan mengambil mashaf, kemudian beriktikaf semula di tempat yang sama. Namun, belum pun sempat saya membuka mashaf, ada orang memegang tangan saya. Saya terkedu apabila melihat pakcik Muhsin berada di sisi saya dan meminta saya bangun.

“Bangunlah. Pakcik sudah cadangkan pada imam dan jawatankuasa untuk membenarkan anak memberikan tazkirah. Mereka setuju.” Saya bingkas dan menurutinya dalam pinga. “Adalah tidak adil jika anak menyampaikan ilmu untuk pakcik seorang saja. Apa yang ingin anak sampaikan penting dan perlu juga disampaikan kepada jemaah.” Dia mengukir senyum. Senyuman yang julung-julung kalinya tentu! Serentak itu saya terdengar suara imam meminta semua jemaah menumpukan perhatian di hadapan. Saya terkesima. Subhanallah! Hati saya diterpa kagum tak henti-henti. Zikir dalam hati bertemali. Saya melangkah dan duduk dimihrab.

Sebelum memulakan kuliah, saya memandang pakcik Muhsin yang duduk karib di sebelah kanan, kemudian ke arah jemaah di sekitar masjid. Jiwa saya ketika itu beragaman dengan diksi - ayuh, kita hadirkan hati!

Read More..

Sunday 13 January 2008

Sifat-Sifat Wanita Ahli Syurga


Siapakah wanita yang menjadi ahli Syurga? Apakah ciri-ciri atau sifat-sifat yang menjadi kunci bagi wanita memasuki syurga?

Sebuah hadis Nabi menyatakan:
Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai."
(Hadis Riwayat Ahmad)

Menurut hadis di atas sekurang-kurangnya ia telah menggariskan empat dasar atau sifat utama yang menjadi teras bagi seorang wanita muslimah memasuki syurga, iaitu menunaikan kewajipannya kepada Allah dalam makna melaksanakan ibadah-ibadah yang diwajibkan ke atasnya seperti sembahyang, puasa, dan lain-lain ibadah wajib yang mampu dilaksanakan.

Sebuah hadis menyebutkan bahawa sembahyang adalah perkara pertama yang akan disoal di hari Kiamat.

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu, Nabi Sallallahu Alahi Wasallam bersabda:

"Sesungguhnya perkara yang pertama sekali dikira dari amalan hamba di hari kiamat ialah sembahyang; sekiranya sembahyang itu sempurna, maka beruntung dan berjayalah dia, dan sekiranya ia rosak, maka kecewa dan rugilah dia, kalau kewajipan fardhu masih kurang, Allah berfirman: Lihatlah adakah amalan-amalan sunat untuk menyempurnakan kekurangan tersebut. Demikianlah seterusnya dengan amalan yang lain"
(Hadis riwayat at-Tirmizi)

Disamping menunaikan kewajipan kepada Allah, menunaikan hak dan kewajipan kepada suami juga merupakan hal yang tidak boleh diabaikan oleh seorang wanita.

Tertunainya hak dan tanggungjawab suami barulah akan turun keredhaan dan rahmat Allah kepadanya. Menjaga kehormatan diri juga merupakan hal yang digariskan oleh hadis di atas. Antara hal-hal yang boleh diketegorikan dalam konteks menjaga kehormatan itu ialah mempunyai sifat pemalu, jika suaminya keluar dia akan menguruskan dan menjaga dirinya dan harta suaminya dengan amanah. Bila suaminya datang kepadanya dia akan menjaga mulut daripada menyebutkan perkataan yang tidak elok didengar.

Sebuah hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menyatakan bahawa:

"Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika
salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak."
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Maksud hadis ini ialah jika kesopanan atau sifat malu sudah hilang, iman juga akan hilang bersama-samanya. Betapa besarnya pengaruh antara kesopanan dan keimanan kepada diri seorang wanita itu, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menegaskan dengan sabda baginda:

"Apabila sesesorang itu terlibat dengan penzinaan, ia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu mencuri ia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu meminum arak ia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu menyelewing setelah diberi amanah oleh orang lain ia bukan lagi seorang beriman, dan apabila seseorang diantara kamu menipu ia bukan lagi seorang beriman, oleh itu berjaga-jagalah! "

Taat kepada suami merupakan satu lagi sifat wanita yang digambarkan oleh hadis yang dipaparkan di awal makalah ini. Taat kepada suami adalah tanggungjawab isteri yang wajib di sempurnakan. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Bazzar Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

"Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taat kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, sama pahalanya dengan
berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran, tetapi sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan
hak-hak suami mereka."
(Hadis riwayat Al Imam Bazzar)

Isteri adalah pusat dan sumber kebahagiaan dan ketenteraman di dalam sebuah rumahtangga. Ia perlu mempunyai sifat-sifat sabar dan perhatian yang sepenuhnya kepada suami dan juga anak-anak.

Sikap inilah yang boleh mewujudkan suasana yang tenang, aman dan damai dalam rumahtangga. Dalam hal ini, para isteri sayugialah akan sentiasa bersikap baik kepada suami. Saidina Abu Bakar Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda:

"Seorang wanita yang menyakiti hati suami dengan lidahnya, dia mendatangkan celaan dan kemurkaan Allah, para malaikat dan umat manusia."

Selain itu, Saidina Ali Radhiallahu Anhu meriwayatkan sebuah hadis mengenai setiap isteri yang tidak menghormati status suaminya.

"Wanita yang berkata kepada suaminya yang tidak melihat apa-apa kebaikan pada suaminya, Allah menghapuskan segala perbuatan baiknya selama 70 tahun,
walaupun dia berpuasa selama itu siang hari dan bersembahyang pada malamnya."
(Hadis Riwayat Imam Majah dan An-Nasai)

Berdasarkan huraian ringkas di atas, para wanita semestinyalah mengamalkan sikap taat dan bertakwa kepada Allah, bertanggungjawab kepada suami dan menjaga kehormatan dirinya. Semoga dengan itu, akan mudahlah mereka mendapat rahmat dan keredhaan Allah. Rahmat dan redha Allah itulah yang akan menjamin kebahagian hidupnya di dunia dan di akhirat.

Read More..

Monday 7 January 2008

Apa ertinya saya menganut agama ISLAM. (fasa 3)

TAUBAT SAINTIFIK

Bagaimanakah pula jika Pak Haji mengubah salah tanggapnya itu tadi? Turun ke kebun seawal 7 pagi, bekerja secara optimum dengan teknologi terkini dalam penanaman jagungnya kali ini dan dalam masa yang sama, Pak Haji terus komited dengan solatnya, dengan puasanya, dengan zakatnya dan pada ketaatannya sebagai apa yang selama ini dinamakannya sebagai ‘kerja Islam’.

Pak Haji mendapat tuaian jagung 50kg, sebagaimana Ah Chong yang juga mendapat hasil yang sama. Apakah kini mereka telah sama?

Jawapannya YA dan jawapannya juga TIDAK.

Ya, mereka berdua saling mendapat kesejahteraan dalam ekonomi dan pertanian kerana beroleh hasil yang seimbang pada penilaian dan ukuran.

KESEJAHTERAAN HIDUP

Tetapi, pada keseluruhan gambaran kehidupan, Pak Haji dan Ah Chong tidak sama. Pak Haji memperolehi 50kg jagung, dan dengan hasil kerjanya itu hidup Pak Haji ada bahagia. Berasa cukup tetapi tidak menghalangnya dari terus berusaha. Ada bahagian yang boleh disedekah dan ahli keluarganya mendapat tenang dan sejahtera.

Rezeki Pak Haji ada kualiti bernama barakah. Sedikit yang banyak, banyak yang membanyakkan.


Ah Chong beroleh 50kg, tetapi jiwanya tidak pernah berasa cukup. Bukan sahaja beliau tertekan untuk berusaha malah mengintai peluang untuk mengambil bahagian di tangan orang lain. Hidupnya gundah gelana, makan cukup tetapi jiwa tidak tenteram. Selepas kenyang, dia kembali lapar. Selepas lena, matanya kembali terjaga. Banyak persoalan yang membelenggu kehidupan. Apa ertinya hidupku ini.

Ah Chong telah menyelesaikan persoalan hubungannya dengan alam melalui sains pertanian.

Ah Chong telah menyelesaikan persoalan hubungannya dengan sesama insan dengan nafkah minum makan yang dibekalkan.

Tetapi Ah Chong takutkan kematian kerana ia noktah akhir segala usahanya yang dikerjakan seharian. Ah Chong tidak pasti dengan jawapan, apakah erti hidupnya ini, sebelum dia bertemu jawapan apakah erti yang ingin dibawa menjelang mati.

Semuanya kerana Ah Chong tidak menyelesaikan persoalan hubungannya dengan Tuhan. Dunianya sempit kerana disempitkan oleh cara dia melihat kehidupan. Dia tidak beroleh kesejahteraan. Dia gagal memaknakan dunia kerana tidak bertemu jalan menuju Akhirat.

Ah Chong mungkin mengambil keputusan untuk menghancurkan kehidupan ketika berada di puncak pencapaian.

INILAH SIFIRNYA

Kesejahteraan adalah hasil ketundukan dan penyerahan. Kesejahteraan jiwa dan kehidupan beragama, kesejahteraan ekonomi, politik dan sistem sosial.

Ketundukan dan penyerahan kepada Tuhan melalui sistem Tuhan pada mengatur alam ciptaan-Nya ini.

Di sinilah peraturan Allah diterjemahkan sebagai sains dan hukum alam. Tunduk dan patuhnya seorang manusia kepada sains adalah sebahagian daripada maksud “apa erti saya menganut Islam”.

Ketundukan dan penyerahan manusia kepada cara dia berhubung dengan Dia… pada ibadah dan ritual amalan yang sejahtera. Ibadah yang majhul hingga terdidik melalui seorang perantara yang mengungkapkan wahyu di dalam ajaran bernama Syariah. Tunduk dan patuhnya seorang manusia kepada Syariatullah adalah sebahagian daripada maksud “apa erti saya menganut Islam”.

Read More..

Friday 4 January 2008

Apa ertinya saya menganut agama ISLAM. (fasa 2)

HAKIKAT PENYERAHAN DAN KETUNDUKAN

Allah SWT tidak akan menjelma lantas manusia yang sujud di ‘kaki’-Nya boleh mendakwa saya telah tunduk dan berserah kepada Tuhan. Maka bagaimanakah seorang manusia itu dengan mudah boleh berkata, saya telah tunduk kepada Dia?

Ya… maka manusia mesti lebih kritis dalam menjawab dan meyakini jawapannya.

Mari kita pinjam semula kisah Pak Haji dan Ah Chong…




Pak Haji mengerjakan haji. Sebelum itu juga beliau telah selesai sempurna solatnya, puasanya dan zakatnya. Soalan “apa erti saya menganut Islam”, telah Pak Haji jawab dengan mematuhi rukun-rukun dan syarat Islam.

Pak Haji menanam jagung.

Turun ke kebun jam 10 pagi, selepas selesai solat sunat Dhuha. Benih dipilih, dibenam ke bumi, air disiram, Pak Haji balik ke rumah dan bersolat lagi.

Di seberang sana ada seorang lagi pekebun jagung bernama Ah Chong. Jangankan haji, halal haram dan solat pun dia tidak mengerti. Tidak pernah dipeduli. Soalan “apa erti saya menganut Islam” bukan soalan hidupnya, kerana hidupnya hanya pada makan, minum, tidur, kerja, rehat, kahwin.

Ah Chong menanam jagung.

Turun ke kebun jam 7 pagi. Masih ‘kufur’ seperti sebelum tidurnya malam tadi. Dengan dada yang kosong dari sebarang agama, Ah Chong memilih benih terbaik. Ditanam semolek mungkin ke dalam tanah yang dibentuk batas. Dibuat saluran air, agar lebihan siram tidak bertakung merosakkan benih. Batas dilindung dengan rumput kering selepas baja ditabur mengikut sukatannya. Pagar kebun diperiksa, agar jangan kambing yang hidupnya juga makan, minum, kerja, rehat dan ‘kahwin’ merempuh masuk memakan anak pokok jagung si Ah Chong. Tepat jam 12 tengah hari, Ah Chong bersandar di pondok usang, berehat dan makan menanti petang.

Setiap hari Pak Haji dan Ah Chong mengulang perbuatan yang sama hingga genap 50 hari untuk menuai.

Jawablah soalan “apa erti saya menanam jagung?” melalui hasil tuaian masing-masing. Siapakah yang lebih mendapat makna dari persoalan itu?

Dengan yakin, kita boleh menjawab bahawa kebun jagung Ah Chonglah yang makmur dan sejahtera.

Soalnya siapakah yang menumbuhkan jagung?

Allah…

Soalnya siapakah antara mereka berdua yang menyembah Allah?

Pak Haji…

Mengapa Allah tumbuhkan pokok jagung Ah Chong dan bukannya pokok jagung Pak Haji?

Mengapakah sebagai seorang pekebun jagung, Ah Chong yang beroleh sejahtera dengan hasil tanaman yang lumayan? Sedangkan Pak Haji terus papa dan resah dengan keperluan hidup yang tidak pernah cukup?

MUSLIM DI LADANG JAGUNG

Jika Muslim itu bermaksud tunduk dan berserah kepada Allah, siapakah yang Muslim di medan menanam jagung ini? Pak Haji atau Ah Chong?

Mungkin soalannya seperti suatu permainan, tetapi saya ingatkan kembali kenyataan Muhammad Abduh sekembalinya dia dari pembuangan di Barat. Kata Muhammad Abduh:


“Saya pergi ke Paris, lantas saya bertemu dengan Islam tanpa Muslim. Saya kembali ke Kaherah dan saya bertemu dengan Muslim tanpa Islam!”

Apakah ketentuan Allah SWT terhadap pokok jagung? Apakah sistem Allah dalam bercucuk tanam? Bagaimanakah ‘cara kerja’ Khaliq terhadap makhluq bernama jagung? Apakah Allah membuat suatu sistem bahawa untuk jagung tumbuh subur ia memerlukan kepada zikir yang ma’thur dari nas al-Quran dan al-Sunnah? Apakah kesuburan jagung ditentukan oleh Allah SWT pada besarnya serban atau pada singkatnya jubah? Bagaimanakah caranya manusia menyembah Allah dalam perbuatan menanam jagung?

Ketentuan Allah pada teknik menyuburkan tanaman jagung ialah pada kualiti benihnya, cara jagung ditanam, jenis baja, kaedah menjaga pokoknya… yang kesemuanya dihimpun dalam satu ilmu bernama sains pertanian.

Siapakah yang tunduk kepada Allah dalam sains pertanian?

Jawapannya… Ah Chong.

Ah Chong yang patuh kepada hukum alam, kepada hukum sains pertanian… kepada Sunnatullah (cara kerja Allah).

Meminjam kata-kata Muhammad Abduh, maka Ah Chong adalah ‘muslim’ tanpa Islam di ladang jagungnya.

Pak Haji itu pulalah yang kosong makna Islamnya kerana dia taat di atas sejadah, namun ‘kufur’ di medan kerja. Allah, Allah!!!

Read More..

Wednesday 2 January 2008

Apa ertinya saya menganut agama ISLAM. (fasa 1)


“Apa erti saya menganut Islam?”, tidakkah soalan itu soalan yang tidak patut ditanya?

Tidak masuk akal untuk seseorang itu menjadi Muslim tetapi belum pernah memikirkan erti keIslamannya. Memilih sesuatu tanpa mengetahui apa yang dipilih?

Tidak… bukan begitu soalannya. Selama ini tidak pernah pun membuat pilihan, melainkan segalanya diterima secara kebetulan. Islam warisan. Islam yang turun dari emak ke anak, sebagaimana turunnya warna mata dan kerinting rambut.

Tanpa pernah memilih Islam, seorang Muslim mungkin menjadi musuh kepada keIslamannya sendiri. Menjadi perosak kepada agama yang dimeterakan ke pengenalan dirinya. Dia bukan sahaja gagal menikmati Islam yang dianutinya, malah dia mungkin sampai menganggap racun keIslamannya lantas meracuni orang lain dengan perbuatan-perbuatannya yang menyesatkan persepsi orang lain tentang erti Islam yang sebenar.

Sulitnya lagi, menjawab persoalan “apa erti saya menganut Islam” bukan pada perkataan dan penjelasan lisan, tetapi melalui perbuatan.

Perbuatan kepada Tuhan

Perbuatan kepada sesama insan

Perbuatan kepada alam

Perbuatan kepada pekerjaan dan aktiviti seharian

Kesemua jawapan tentang “apa erti saya menganut Islam”, jawapannya diungkap pada perbuatan. Apa erti saya menganut Islam adalah persoalan yang mengkritik perbuatan berdasarkan kepercayaan. Apa yang kamu percaya, dan apakah kesan kepercayaan kamu kepada perbuatan seharianmu.



PENYERAHAN DAN KETUNDUKAN


Islam itu penyerahan…

Islam itu ketundukan…

Islam itu kesejahteraan…

Islam itu adalah penyerahan dan ketundukan yang menghasilkan kesejahteraan.

Soalnya, kepada apakah seorang Muslim itu berserah dan tunduk akur? Kesejahteraan apakah yang dicarinya dalam kehidupan ini.

Secara cliché, seorang Muslim berkata, “sebagai Muslim, saya berserah dan tunduk kepada Allah dan dengan perbuatan itu berhasillah saya mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan di Akhirat”.

Sedap jawapannya, menepati skema ukuran kertas jawapan. Tetapi terjawabkah persoalan kehidupannya dengan jawapan sebegitu di atas kertas jawapan? Jika begitu tepat seorang Muslim mendefiniskan keIslamannya sebagai tunduk dan berserah kepada Tuhan, mengapakah kesejahteraan hilang dari dunia Muslim zaman berzaman? Mengapakah segala yang sakit dan tenat itu kita temui dalam catatan kehidupan Muslim yang kebelakangan?

“Saya hairan apabila ustaz begitu yakin menyebut bahawa masa depan adalah milik Islam. Kenapa saya tidak memiliki keyakinan yang sama?”, tanya seorang peserta PUISI 2007.

Ya, hingga begitu sekali seorang Muslim menimbulkan pertanyaan. Saya tidak menyalahkan penyoal dan soalan kerana ia adalah pertanyaan yang tulen. Pertanyaan yang memberikan kesimpulan bahawa empat hari berkampung di Bukit Melleray, Co. Waterford bukan jawapan penuh kepada menjawab persoalan APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM… bahawa dua muka surat tulisan Fathi Yakan tentang “meyakini bahawa masa depan adalah milik Islam” adalah jauh dari upaya menjustifikasi ucapan-ucapan kita agar bukan sekadar slogan dan retorik angan-angan.

Read More..