Monday 7 January 2008

Apa ertinya saya menganut agama ISLAM. (fasa 3)

TAUBAT SAINTIFIK

Bagaimanakah pula jika Pak Haji mengubah salah tanggapnya itu tadi? Turun ke kebun seawal 7 pagi, bekerja secara optimum dengan teknologi terkini dalam penanaman jagungnya kali ini dan dalam masa yang sama, Pak Haji terus komited dengan solatnya, dengan puasanya, dengan zakatnya dan pada ketaatannya sebagai apa yang selama ini dinamakannya sebagai ‘kerja Islam’.

Pak Haji mendapat tuaian jagung 50kg, sebagaimana Ah Chong yang juga mendapat hasil yang sama. Apakah kini mereka telah sama?

Jawapannya YA dan jawapannya juga TIDAK.

Ya, mereka berdua saling mendapat kesejahteraan dalam ekonomi dan pertanian kerana beroleh hasil yang seimbang pada penilaian dan ukuran.

KESEJAHTERAAN HIDUP

Tetapi, pada keseluruhan gambaran kehidupan, Pak Haji dan Ah Chong tidak sama. Pak Haji memperolehi 50kg jagung, dan dengan hasil kerjanya itu hidup Pak Haji ada bahagia. Berasa cukup tetapi tidak menghalangnya dari terus berusaha. Ada bahagian yang boleh disedekah dan ahli keluarganya mendapat tenang dan sejahtera.

Rezeki Pak Haji ada kualiti bernama barakah. Sedikit yang banyak, banyak yang membanyakkan.


Ah Chong beroleh 50kg, tetapi jiwanya tidak pernah berasa cukup. Bukan sahaja beliau tertekan untuk berusaha malah mengintai peluang untuk mengambil bahagian di tangan orang lain. Hidupnya gundah gelana, makan cukup tetapi jiwa tidak tenteram. Selepas kenyang, dia kembali lapar. Selepas lena, matanya kembali terjaga. Banyak persoalan yang membelenggu kehidupan. Apa ertinya hidupku ini.

Ah Chong telah menyelesaikan persoalan hubungannya dengan alam melalui sains pertanian.

Ah Chong telah menyelesaikan persoalan hubungannya dengan sesama insan dengan nafkah minum makan yang dibekalkan.

Tetapi Ah Chong takutkan kematian kerana ia noktah akhir segala usahanya yang dikerjakan seharian. Ah Chong tidak pasti dengan jawapan, apakah erti hidupnya ini, sebelum dia bertemu jawapan apakah erti yang ingin dibawa menjelang mati.

Semuanya kerana Ah Chong tidak menyelesaikan persoalan hubungannya dengan Tuhan. Dunianya sempit kerana disempitkan oleh cara dia melihat kehidupan. Dia tidak beroleh kesejahteraan. Dia gagal memaknakan dunia kerana tidak bertemu jalan menuju Akhirat.

Ah Chong mungkin mengambil keputusan untuk menghancurkan kehidupan ketika berada di puncak pencapaian.

INILAH SIFIRNYA

Kesejahteraan adalah hasil ketundukan dan penyerahan. Kesejahteraan jiwa dan kehidupan beragama, kesejahteraan ekonomi, politik dan sistem sosial.

Ketundukan dan penyerahan kepada Tuhan melalui sistem Tuhan pada mengatur alam ciptaan-Nya ini.

Di sinilah peraturan Allah diterjemahkan sebagai sains dan hukum alam. Tunduk dan patuhnya seorang manusia kepada sains adalah sebahagian daripada maksud “apa erti saya menganut Islam”.

Ketundukan dan penyerahan manusia kepada cara dia berhubung dengan Dia… pada ibadah dan ritual amalan yang sejahtera. Ibadah yang majhul hingga terdidik melalui seorang perantara yang mengungkapkan wahyu di dalam ajaran bernama Syariah. Tunduk dan patuhnya seorang manusia kepada Syariatullah adalah sebahagian daripada maksud “apa erti saya menganut Islam”.

0 comments: