Friday 4 January 2008

Apa ertinya saya menganut agama ISLAM. (fasa 2)

HAKIKAT PENYERAHAN DAN KETUNDUKAN

Allah SWT tidak akan menjelma lantas manusia yang sujud di ‘kaki’-Nya boleh mendakwa saya telah tunduk dan berserah kepada Tuhan. Maka bagaimanakah seorang manusia itu dengan mudah boleh berkata, saya telah tunduk kepada Dia?

Ya… maka manusia mesti lebih kritis dalam menjawab dan meyakini jawapannya.

Mari kita pinjam semula kisah Pak Haji dan Ah Chong…




Pak Haji mengerjakan haji. Sebelum itu juga beliau telah selesai sempurna solatnya, puasanya dan zakatnya. Soalan “apa erti saya menganut Islam”, telah Pak Haji jawab dengan mematuhi rukun-rukun dan syarat Islam.

Pak Haji menanam jagung.

Turun ke kebun jam 10 pagi, selepas selesai solat sunat Dhuha. Benih dipilih, dibenam ke bumi, air disiram, Pak Haji balik ke rumah dan bersolat lagi.

Di seberang sana ada seorang lagi pekebun jagung bernama Ah Chong. Jangankan haji, halal haram dan solat pun dia tidak mengerti. Tidak pernah dipeduli. Soalan “apa erti saya menganut Islam” bukan soalan hidupnya, kerana hidupnya hanya pada makan, minum, tidur, kerja, rehat, kahwin.

Ah Chong menanam jagung.

Turun ke kebun jam 7 pagi. Masih ‘kufur’ seperti sebelum tidurnya malam tadi. Dengan dada yang kosong dari sebarang agama, Ah Chong memilih benih terbaik. Ditanam semolek mungkin ke dalam tanah yang dibentuk batas. Dibuat saluran air, agar lebihan siram tidak bertakung merosakkan benih. Batas dilindung dengan rumput kering selepas baja ditabur mengikut sukatannya. Pagar kebun diperiksa, agar jangan kambing yang hidupnya juga makan, minum, kerja, rehat dan ‘kahwin’ merempuh masuk memakan anak pokok jagung si Ah Chong. Tepat jam 12 tengah hari, Ah Chong bersandar di pondok usang, berehat dan makan menanti petang.

Setiap hari Pak Haji dan Ah Chong mengulang perbuatan yang sama hingga genap 50 hari untuk menuai.

Jawablah soalan “apa erti saya menanam jagung?” melalui hasil tuaian masing-masing. Siapakah yang lebih mendapat makna dari persoalan itu?

Dengan yakin, kita boleh menjawab bahawa kebun jagung Ah Chonglah yang makmur dan sejahtera.

Soalnya siapakah yang menumbuhkan jagung?

Allah…

Soalnya siapakah antara mereka berdua yang menyembah Allah?

Pak Haji…

Mengapa Allah tumbuhkan pokok jagung Ah Chong dan bukannya pokok jagung Pak Haji?

Mengapakah sebagai seorang pekebun jagung, Ah Chong yang beroleh sejahtera dengan hasil tanaman yang lumayan? Sedangkan Pak Haji terus papa dan resah dengan keperluan hidup yang tidak pernah cukup?

MUSLIM DI LADANG JAGUNG

Jika Muslim itu bermaksud tunduk dan berserah kepada Allah, siapakah yang Muslim di medan menanam jagung ini? Pak Haji atau Ah Chong?

Mungkin soalannya seperti suatu permainan, tetapi saya ingatkan kembali kenyataan Muhammad Abduh sekembalinya dia dari pembuangan di Barat. Kata Muhammad Abduh:


“Saya pergi ke Paris, lantas saya bertemu dengan Islam tanpa Muslim. Saya kembali ke Kaherah dan saya bertemu dengan Muslim tanpa Islam!”

Apakah ketentuan Allah SWT terhadap pokok jagung? Apakah sistem Allah dalam bercucuk tanam? Bagaimanakah ‘cara kerja’ Khaliq terhadap makhluq bernama jagung? Apakah Allah membuat suatu sistem bahawa untuk jagung tumbuh subur ia memerlukan kepada zikir yang ma’thur dari nas al-Quran dan al-Sunnah? Apakah kesuburan jagung ditentukan oleh Allah SWT pada besarnya serban atau pada singkatnya jubah? Bagaimanakah caranya manusia menyembah Allah dalam perbuatan menanam jagung?

Ketentuan Allah pada teknik menyuburkan tanaman jagung ialah pada kualiti benihnya, cara jagung ditanam, jenis baja, kaedah menjaga pokoknya… yang kesemuanya dihimpun dalam satu ilmu bernama sains pertanian.

Siapakah yang tunduk kepada Allah dalam sains pertanian?

Jawapannya… Ah Chong.

Ah Chong yang patuh kepada hukum alam, kepada hukum sains pertanian… kepada Sunnatullah (cara kerja Allah).

Meminjam kata-kata Muhammad Abduh, maka Ah Chong adalah ‘muslim’ tanpa Islam di ladang jagungnya.

Pak Haji itu pulalah yang kosong makna Islamnya kerana dia taat di atas sejadah, namun ‘kufur’ di medan kerja. Allah, Allah!!!

0 comments: